Sunday, February 17, 2013 | By: Huda Engku

Book Swap di The Bee, Jaya One anjuran Novels For All: Komen saya

Alhamdulillah, walaupun sudah agak lewat, saya sempat singgah di The Bee, Jaya One di Jalan Universiti, Petaling Jaya untuk Book Swap anjuran Novels For All. Saya telah membawa lima buah novel; dua novel berbahasa Inggeris dan tiga lagi novel berbahasa Melayu.

Saya berjaya mendapatkan lima buah buku sebagai ganti novel yang saya telah bawa dan satu lagi buku yang diambil oleh seorang kawan saya dibayar sebagai sumbangan untuk Novels For All.



Saya sempat mengambil masa untuk melihat-lihat buku yang ada, dan sempat singgah untuk minum di The Bee. Dalam tempoh yang tidaklah terlalu lama, saya sempat membuat pemerhatian tentang acara ini:

LOKASI
Bagi saya, lokasinya tidak berapa sesuai jika penganjur ingin menarik lebih ramai orang untuk swap buku. Jika diadakan di tempat yang lebih terbuka seperti di lobi pusat membeli belah atau di dataran di mana orang yang lalu lalang nampak bahawa ada acara sedang berlangsung walaupun mereka sebelum itu tidak pernah tahu mengenai acara tersebut.

Ini pertama kali saya ke Jaya One dan saya mengambil masa untuk sampai kerana saya kurang mahir dengan jalan di sekitar sana. Saya terfikir, mungkinkah acara ini sebenarnya untuk menarik mereka yang tinggal berhampiran Jaya One?

And to be honest, saya kurang selesa berada di tempat yang menghidangkan minuman keras. Saya telah mencuba untuk menerima keadaan tersebut, tetapi hati saya tetap tidak boleh terbuka dengan keadaan begitu, maaf.

WAKTU
Acara ini diadakan cuma pada hari Sabtu petang. Jika boleh diadakan sekurang-kurangnya dua hari untuk memberi peluang kepada mereka yang cuma tahu mengenai acara tersebut setelah melalui tapak acara secara tidak sengaja. Jika diadakan secara berkala, mungkin pihak pengajur boleh menyatakan secara jelas kepada pengunjung bahawa acara tersebut akan diadakan lagi bagi membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk swap buku untuk datang pada waktu yang lain.

KUMPULAN SASARAN
Seperti yang saya katakan di atas, mungkinkah acara ini sebenarnya untuk mereka yang tinggal berhampiran Jaya One?

Dan, adakah acara tersebut untuk mereka yang berminat untuk menikmati buku sambil minum secawan mocha (kerana dibuat di The Bee)? Atau untuk mereka yang lebih seronok membaca buku berbahasa Inggeris (kerana saya lihat lebih banyak buku berbahasa Inggeris di rak yang disediakan)?

SYARAT-SYARAT SWAP BUKU
Saya tidak tahu lebih awal yang buku-buku yang tersedia boleh dibeli dengan harga RM10 sebuah jika jumlah buku yang diambil lebih banyak dari buku yang diberikan kepada penganjur (dan wang tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung Novels For All yang menyediakan perpustakaan untuk kanak-kanak yang memerlukan). Jika syarat tersebut diberitahu lebih awal, mungkin pengunjung akan membawa duit lebih untuk  membantu usaha murni pihak penganjur.


Saya rasa itu sahaja pendapat saya. Pihak penganjur mungkin ada alasan mereka sendiri yang saya tidak tahu tetapi ini yang saya rasa, berdasarkan pemerhatian saya. Apa pun, usaha Novels For All ini memang sangat bagus, mengingatkan saya dengan usaha Oxfam yang menggalakkan orang ramai mendermakan buku-buku mereka untuk dijual oleh Oxfam dan hasil jualan digunakan untuk membantu kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan oleh Oxfam, cuma kali ini Novels For All mengadakan acara Book Swap. Mungkin dengan cara begitu rakyat Malaysia lebih berminat untuk mengambil bahagian.


Buat yang tidak mengetahui, Novels For All membantu membina perpustakaan untuk kegunaan kanak-kanak yang memerlukannya. Jika ada pihak yang ingin membantu Novels For All, anda boleh ke fan page Novels For All di Facebook. Mereka pasti gembira jika ada yang ingin membantu. :)

By the way, rak buku mereka comel, diperbuat daripada kerusi terbuang. Sangat cool!

Saya doakan usaha Novels For All berhasil dengan jayanya. :)


No comments:

Ini mungkin menarik: