Saturday, August 11, 2012 | By: Huda Engku

Kata Saya: Buku Fixi Tidak Dibenarkan Penjualannya di Kedai Buku Popular

Baru-baru ini menjenguk timeline di Twitter, heboh diperkatakan tentang dua judul buku terbitan Fixi tidak lulus penjualannya di kedai buku Popular Malaysia. Untuk yang masih tidak tahu, judul buku 'Murtad' dan 'Hilang' tidak dibenarkan dijual di kedai buku tersebut kerana menurut Penolong Pengurus Perdagangan Jabatan Bahasa Melayu Popular Book Co. (M) Sdn. Bhd., terdapat kata-kata kesat dalam buku-buku tersebut (rujuk di sini untuk membaca penjelasan tersebut).


Saya bukanlah seorang peminat tegar buku Fixi walaupun saya turut membacanya. Saya juga bukanlah seorang peminat tegar buku-buku mainstream. Saya membaca apa sahaja yang menarik minat saya jadi saya tidak memihak mana-mana, tetapi saya punya pendapat sendiri mengenai perihal ini.

Buku Fixi menampilkan isu-isu yang berlainan berbanding novel-novel Melayu lain yang terdapat di pasaran. Isu-isu tersebut ada yang tabu dan tidak diperkatakan secara meluas (sedangkan saya pasti ada berlaku dalam masyarakat Melayu Islam kita khususnya!), seperti yang saya pernah baca, novel 'Kelabu' karya Nadia Khan menceritakan tentang seorang perempuan yang merasakan dirinya lelaki, bercinta dengan perempuan. Walaupun begitu, di penghujung cerita, masih ada nilai positif ditampilkan. Begitu juga dengan novel Invasi. Namun begitu, saya masih belum membaca novel 'Murtad' dan 'Hilang' jadi tidak dapat saya mengulas keduanya di sini. Walaupun membaca cuma tiga buah buku Fixi (termasuk buku 'Kopi'), saya seronok kerana saya tidak suka membaca novel cinta jiwang-jiwang yang semakin hari semakin banyak di kedai-kedai buku. I mean, come on, is that all there is in this world?

Bagi saya, Fixi memang berani, dan Fixi juga mampu menggalakkan anak-anak muda berkarya dan membaca. Saya puji hal itu, namun, kematangan ahli masyarakat kita dalam menilai dan mengambil pengajaran daripada apa yang dibaca perlu diambil kira, dan saya merupakan individu yang percaya, bahawa apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita, dapat dirasa oleh pancaindera, bakal tertulis dalam minda kita. Jika kita membaca perkataan-perkataan yang baik-baik, perkataan yang baik-baik juga tertulis dalam minda kita, tidak kira siapa kita; kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Mungkin perkara itu boleh dipantau oleh Fixi sebelum penerbitan sesebuah karya. Jika perlu ada perkataan yang tidak sepatutnya, biarkan supaya keaslian karya terjaga dan jika tidak perlu dan ada terlalu banyak dalam satu-satu karya, mungkin boleh dicantas.

Saya yakin Fixi dan kedai buku Popular, kedua-duanya mempunyai perniagaan untuk dijaga. Fixi, saya yakin mahu lebih ramai yang membeli buku-buku terbitannya dan kedai buku Popular, tentu mahu lebih ramai yang datang membeli buku di sana. Jadi kedua-duanya perlu saling memahami, dan mencapai beberapa persetujuan untuk mendapat keuntungan maksima. Saya sekadar seorang konsumer, apabila saya ada duit, saya ada kuasa membeli. Jika saya mahu (dan ya, saya macam teruja untuk dapatkan buku 'Murtad' dan 'Hilang'. Mahu juga saya tahu apa yang menjadikannya tidak layak dijual di kedai buku, dan bolehlah saya menilainya sendiri), saya akan mencari cara untuk mendapatkan produk yang saya mahu, walaupun tiada di kedai.

Sebenarnya ketika mula-mula tahu tentang perkara ini, saya nampak perkara ini sebagai jalan untuk Fixi menjadi lebih kreatif dalam memasarkan produk-produk mereka. Ambil yang positif, dan jadikan halangan sebagai motivasi, jika ada yang tidak molek, boleh sahaja perbaiki selagi ada masa.

Baru sebentar tadi, saya juga membaca entri blog Puan Ainon bertajuk 'Risiko Penerbitan Buku Berbahasa Melayu Rendah: POPULAR Tidak Lagi Menjual Buku-Buku Terbitan Fixi'. Saya tidak nampak isu antara Fixi dan Popular ini sebagai masalah penggunaan Bahasa Melayu Rendah. Ini sekadar masalah penggunaan perkataan yang tidak sepatutnya dibaca oleh pembaca. Jadi, buat siapa-siapa yang 'sentap' membaca entri tersebut, anda yakin anda sudah menjadi pembaca yang matang menilai apa yang dibaca? Jika sudah, anda sudah bersedia membaca lebih banyak buku dalam dunia ini.

6 comments:

Unknown said...

saya ara Puan Ainon sekadar mengutarakan pendapatnya untuk mempromosi Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Kesiimpulannya, BMT tidak mengandungi kata-kata kesat sebaliknya pilihan kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

Pun begitu saya boleh terima penggunaan kedua-dua tahap bahasa; tinggi dan rendah. Selera pembaca tidak sama. Ada yang selesa membaca BMT. Ada yang hendak muntah membaca ayat ala skema macam yang saya tulis ini.

Huda Engku said...

Saudara Faiz,

Terima kasih di atas komen yang diberi. Puan Ainon mempromosikan penggunaan BMT memang saya faham, saya tiada tentangan mengenai hal tersebut. Saya juga banyak membaca buku-buku terbitan PTS. Boleh saya tahu, benarkah tiada kata kesat dalam BMT? Apa yang saya faham, BMT merupakan Bahasa Melayu yang dieja lengkap dengan tatabahasa yang betul. Sila betulkan jika saya salah.

Sebenarnya dalam entri ini saya tidaklah berminat hendak fokus kepada penggunaan Bahasa Melayu yang mana satu, kerana perkara di antara Fixi dan Popular lebih kepada penggunaan perkataan yang tidak sesuai (kesat). Jika tidak, pasti dalam surat Popular kepada Fixi akan menyebut mengenai penggunaan Bahasa Melayu Rendah. Jika bukan kerana penggunaan Bahasa Melayu, mengapa perlu di'highlight' perkara tersebut?

Jika ada yang hendak muntah membaca ayat ala skema macam yang awak tulis, mungkin orang itu pun hampir termuntah membaca blog saya.

Unknown said...

BMT yang dianjurkan Puan Ainon lebih daripada itu kerana kaedahnya mengikut langgam bahasa Al-Quran. Bukan sekadar tatabahasa yang betul tetapi terdiri daripada susunan kata yang indah. Sebab itulah bahasanya tinggi.

Ini sekadar yang saya faham.

Popular ada sebab tersendiri seperti yang dinyatakan dalam emelnya. Cuma yang saya pelik, kalau betul nak halang buku yang gunakan bahasa kesat dan bawa pemikiran tak baik (seks dan sebagainya), maka semua buku yang masih dijual di Popular perlu disemak semula.

Huda Engku said...

Itu tidaklah saya pasti. Mungkin Popular mula menerima saranan mana-mana pihak untuk menyemak semula buku-buku sebelum dijual. Harap-harap, jika benar itu prinsip Popular sekarang, mereka lakukan yang serupa kepada buku-buku lain juga.

east cute said...

salam...
bg pendapat saya..... terpulang pada individu yang baca sesebuah buku.. tu..... klu btul nk jaga semua nya...rasanya banyak buku kat luar sana yang tak boleh dikeluarkan.....hehehe.... biasanya yang baca buku mcm ni pun dah besarkan....maksudnya dah pandai berfikir yang mana betul yang mana salah.....klu betul ikut...klu salah jgn ikut...... maaflah tetiba je bg pendapat......

Unknown said...

Betul tu. Saya setuju dengan saudari tentang novel Fixi patut berada di pasaran. Fixi menunjukkan bagaimana masyarakat kita sekarang. Hidup masyarakat, pandangan individu kepada individu yang lain. Novel novel cinta yang menjdi kegilaan remaja tidk mendatngkn apa apa (BAGI SAYA) melainkan: mengimpikn lelaki idaman, hidup seperti dlm buku novel. Benda ni hanya membuat remaja lebih berangan-angan

Buku sepatutnya, membawa remaja berpijak di bumi nyata. Memberitahu bagaimana masyarakat skarang dn memberitahu secara mesra alam. Penggunaan bahasa menunjukkn bahasa yg digunakn masyarakat sekarang. Tetapi perlu diperbanyakkan yg eloklah.

Ini mungkin menarik: