Tuesday, February 28, 2012 | By: Huda Engku

Teknik Pomodoro untuk produktif ketika membaca

"Arghh... aku WAJIB baca buku ini kalau tidak...."

Pernahkah anda melalui saat-saat begini; perlu membaca sesuatu bahan bacaan untuk memenuhi sesuatu matlamat, kadang-kadang anda terlepas deadline atau terkejar-kejar menyudahkan pembacaan ketika deadline hampir tiba? Sejujurnya, saya pernah, sejak zaman saya seorang pelajar sepenuh masa sehinggalah sekarang, pasti sahaja ada waktu begitu walaupun tidak kerap berlaku.

Untuk anda yang perlu menyudahkan pembacaan jurnal akademik atau apa sahaja bahan bacaan yang memerlukan konsentrasi (seperti memahami sepenuhnya isi kandungan bahan tersebut, makna dan definisi perkataan-perkataan yang terkandung dalam bahan tersebut, dll.), mungkin boleh mencuba teknik Pomodoro. Saya pernah mencuba teknik ini untuk menyudahkan tugasan lain tetapi belum pernah mencubanya untuk menyudahkan pembacaan. Jadi, saya bercadang mengaplikasikan teknik Pomodoro ketika membaca bahan bacaan.

Ya, teknik ini tidak boleh digunakan untuk membuat aktiviti yang mengisi masa lapang (seperti yang dicadangkan oleh Francesco Cirillo), seperti membaca buku yang anda baca suka-suka tetapi saya kira boleh digunakan untuk membaca bahan bacaan yang memerlukan konsentrasi, mempunyai matlamat dan tarikh akhir (mungkin seperti buku yang hendak dibincangkan ketika perjumpaan kelab buku *wink*). Jadi, saya ingin mencubanya. Jika berhasil, akan saya kongsikan dengan anda insya-Allah.

Untuk melakukan teknik Pomodoro, anda cuma perlu pen, kertas dan timer. Tulis tugasan/perkara yang hendak dicapai pada waktu itu (i.e. membaca buku linguistik, keseluruhan bab 3). Tetapkan masa 25 minit dan lakukan tugasan tersebut sehingga timer berbunyi (menandakan 25 minit sudah berakhir). Selepas itu, berhenti dari melakukan tugasan tersebut dan berehat seketika, mungkin dalam masa 5 minit sebelum menyambung tugasan tersebut selama 25 minit lagi. Selepas 4 kali timer anda berbunyi, dapatkan rehat yang lebih panjang.

Untuk membaca lebih lanjut mengenai teknik Pomodoro, boleh layari laman web Pomodoro Technique. Jika berminat mendapatkan bukunya, maklumat ada di laman web tersebut.

Buat yang ingin mencuba teknik Pomodoro, selamat mencuba!

No comments:

Ini mungkin menarik: