Saturday, July 16, 2011 | By: Huda Engku

Sedikit Sebanyak: Writing for Magazines oleh Lesley Bown & Ann Gawthorpe

Hampir sebulan yang lalu saya ke Bookxcess membeli buku-buku berbahasa Inggeris yang sangat murah. Salah satu buku yang dibeli adalah 'Write for Magazines' iaitu salah satu judul di dalam siri Teach Yourself ditulis oleh Lesley Bown dan Ann Gawthorpe.



Ketika mula-mula berdiri di depan rak yang penuh dengan buku-buku Teach Yourself, saya betul-betul di dalam dilema memilih judul mana yang perlu saya pilih memandangkan saya perlu berbelanja mengikut bajet yang telah diperuntukkan. Setelah beberapa kali mengambil dan meletakkan semula buku-buku yang diambil di rak buku, akhirnya saya pulang dengan buku ini.

Buku ini mengajar pembaca cara-cara hendak menulis untuk majalah, bermula daripada peralatan yang diperlukan sehinggalah membuat majalah sendiri. Di dalam buku ini dibincangkan juga mengenai komisyen, cara membuat penyelidikan dan jenis-jenis penulisan majalah seperti riviu dan previu, catatan perjalanan, menulis untuk kolum tertentu dan sebagainya.

Keseluruhan kandungan buku ini terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama 'Getting Started', menceritakan tentang perkara asas yang perlu diketahui oleh penulis-penulis artikel sebelum mereka mula menulis, memahami keadaan pasaran supaya apa yang mereka tulis sesuai, bagaimana mendapatkan idea, cara-cara membuat temuramah dan sebagaianya.

Bahagian kedua pula 'Writing An Article' lebih tertumpu kepada proses penulisan. Bahagian ketiga 'Specialist Writing' pula membincangkan mengenai jenis-jenis penulisan majalah, dan bahagian terakhir 'Developing A Career' memberi panduan untuk penulis mengembangkan kareer mereka sebagai seorang penulis sebuah majalah.

Di setiap bab, terdapat tips yang berguna untuk penulis dan pada penghujung bab terdapat tugasan yang perlu pembaca lakukan untuk praktikkan apa yang telah dipelajari di sepanjang bab tersebut.

Setakat ini saya hanya sempat membaca bahagian pertama. Pada awalnya saya seronok membaca kerana ilmu yang disampaikan mudah kerana dapat difahami dengan mudah tetapi semakin saya menghampiri penghujung bahagian pertama, saya dapati yang saya perlu membaca dengan lebih teliti, mungkin kerana penulis berasal daripada United Kingdom, maka apa yang ditulisnya berpandukan keadaan dan undang-undang di sana (atau mungkin saya yang sebenarnya tidak tahu bahawa perkara tersebut turut diamalkan oleh penulis dan majalah di Malaysia. Nampaknya saya perlu belajar lebih banyak tentang penulisan di Malaysia).

Saya masih membawa buku ini ke mana-mana sahaja saya pergi (dan saya sudah mempunyai beg baru yang lebih besar - muat untuk membawa buku untuk dibaca dan buku nota untuk mencatat!) kerana saya masih bersemangat untuk mempelajari selok-belok penulisan di majalah dan mahu menulis untuk majalah. Doakan yang terbaik untuk saya ya!

No comments:

Ini mungkin menarik: