Monday, May 9, 2011 | By: Huda Engku

Sedikit Sebanyak: 101 Doa Daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan


Buku 101 Doa Daripada Hadis-hadis Sahih ini disyorkan oleh makcik saya, seorang pensyarah di UIAM, Gombak. Kebetulan saya terjumpa buku ini di gerai Telaga Biru di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011).

Di dalam buku ini terkandung bab-bab yang mengupas tentang doa seperti makna doa, sebab kita berdoa, perkaitan di antara doa dan ikhtiar, adab-adab berdoa, waktu-waktu mustajabnya doa, dan sebagainya. Selepas membaca tentang doa, penulis mengumpulkan doa-doa yang terkandung di dalam hadis-hadis, kebanyakkannya merupakan doa-doa harian yang boleh dipraktikkan setiap masa dalam hidup kita. Terdapat juga doa-doa yang tidak pernah saya amalkan sepanjang hidup saya seperti doa menjawab salam orang kafir, doa masuk kampung atau bandar, doa masuk pasar, dan lain-lain lagi. Doa-doa yang diajar diikuti dengan keterangan dan petua beramal.

Saya suka susunan bab-bab di dalam buku ini. Penulis bukan semata-mata menghimpunkan doa-doa, tetapi sebelum diajar doa-doa tersebut, beliau mengajar kita perihal doa agar kita memahaminya terlebih dahulu. Jika kita benar-benar tahu apa yang kita lakukan, pasti kita akan lakukannya betul-betul supaya mencapai matlamat. Sama seperti jika kita lapar tetapi kita tidak tahu cara makan dengan betul, sebab kita makan dan makanan apa patut dimakan, adakah kita dapat mencapai matlamat kita untuk menghilangkan rasa lapar tadi?

Pada minggu lepas, ketika sesi Sisters’ Circle, saya berkongsi tentang doa dengan menjadikan buku ini sebagai rujukan utama saya. Ramai sebenarnya di antara kita, muda atau tua, tidak betul-betul memahami tentang doa dan berdoa. Kebanyakkannya (terutamanya ketika berdoa secara berjemaah) tidak mengikuti adab berdoa yang betul. Jadi, usah salahkan siapa-siapa jika kita berdoa tetapi doa kita tidak dimakbulkan Allah. Contoh yang saya berikan kepada adik-adik ketika Sisters’ Circle minggu lepas, kita ingin mohon doa dengan Allah lebih kurang seperti kita ingin minta duit dengan ibu kita. Adakah kita tidak memandang muka ibu ketika menadah tangan meminta duit? Adakah kita menjerit-jerit ketika meminta dengan ibu kita? Jika kita tidak memandang muka ibu dan menjerit-jerit, adakah ibu kita ingin memberi duit tersebut dengan senang hati?

Buku ini sesuai dibaca oleh semua orang yang tahu membaca. Tulisannya jelas, keterangannya mudah difahami. Buku ini patut dimiliki oleh setiap keluarga Islam supaya mereka boleh jadikan buku ini sebagai rujukan bersama dalam mencari kasih sayang dan redha Allah.


No comments:

Ini mungkin menarik: