Friday, September 17, 2010 | By: Huda Engku

Sedikit Sebanyak: Gadis-gadis Kota Riyadh oleh Rajaa Alsanea

Berpuasa sudah. Berhari raya pun sudah. Kebanyakkan kita sudah ramai yang kembali bekerja dan menjalani rutin harian. Saya juga sudah. Semoga semua semakin ceria selepas Ramadhan.

Hari ini saya mahu berkongsi tentang buku yang saya sudah beberapa bulan mula membaca tetapi baru sahaja selesai menghabiskan pembacaan baru-baru ini: Gadis-gadis Kota Riyadh karya Rajaa Alsanea. Penulis merupakan seorang berbangsa Arab (saya kira, daripada golongan bangsawan Arab), yang membesar di Riyadh, tetapi kini menetap di Chicago.


Buku ini pertama kali diterbitkan di dalam bahasa Arab di Beirut pada tahun 2005 dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 2007 dan ke dalam bahasa Melayu pada tahun 2010. Novel ini telah diharamkan di Arab Saudi kerana kandungannya yang dianggap memalukan masyarakat Arab, khususnya golongan bangsawan Arab di Arab Saudi.

Novel ini menceritakan kisah empat sahabat dari kalangan bangsawan Arab yang melanggar adat resam masyarakat mereka. Kisah mereka diceritakan oleh seorang pencerita melalui e-mel yang dikirim pada setiap hari Jumaat. Pengirim e-mel tersebut tidak bernama dan kisah-kisah yang dipaparkan mengundang pelbagai reaksi pembaca; ada yang menyokong dan tidak sabar-sabar menunggu sambungan kisah empat sahabat tersebut, dan ada juga yang mencemuh dan mengugut kerana tidak suka dengan perlakuan yang diceritakan di dalam e-mel yang diterima.

Apa yang saya lihat melalui apa yang saya baca di dalam novel ini, masyarakat Arab juga tidak kurang bezanya dengan kita masyarakat Melayu di Malaysia ini. Kita keliru antara kebiasaan budaya dan agama. Dan apabila seseorang melanggar sesuatu kebiasaan, dia dianggap tidak baik walaupun ianya tidak melanggar peraturan agama. Walaupun begitu, ada juga orang yang melanggar sesuatu kebiasaan, tetapi melanggar batas-batas agama. Maka, saya rasa kita perlu faham bahawa definisi baik dan buruk itu perlulah berasaskan kata-kata Tuhan (jika untuk orang Islam, sudah tentulah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) dan bukan sekadar apa yang masyarakat biasa lakukan.

Yang bagus tentang buku ini ialah saya dapat belajar tentang budaya masyarakat Arab (yang mungkin tidak diketahui sehinggalah kita hidup dalam masyarakat mereka sendiri). Tetapi saya tidak rasa kisah-kisah di dalam novel ini menarik. Semuanya berkisar tentang cinta perempuan dan lelaki. Kisah-kisah biasa. Kisah-kisah yang mencerminkan kecenderungan manusia menjadi lupa diri apabila dilamun cinta. Cuma berlatarkan masyarakat Arab. Mungkin bukan genre yang benar-benar menarik minat saya.

Kalau mahu dapatkan buku ini booQC ada menjualnya secara online. Saya pernah membelinya di Kinokuniya untuk seorang sahabat saya dan saya pula membelinya di kedai buku di Giant Batu Caves untuk simpanan saya. Jika mahu membacanya, selamat membaca!

No comments:

Ini mungkin menarik: